April 24, 2006

Doa...

Pengertian Doa

Dari segi bahasa perkataan "doa" bererti panggilan atau meminta pertolongan, lebih difahami sebagai permohonan dari seorang hamba kepada Alah s.w.t untuk menunaikan hajatnya.

Di dalam Al-Quran banyak perkataan doa yang mempunyai pengertian dan makna tertentu di antaranya :

:1: Dengan makna "ibadat" sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud, " Dan janganlah Kamu berdoa kepada selain Allah s.w.t, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepada kamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu". ( Yunus, 106)

Yang dimaksudkan dengan "berdoa" di dalam ayat di atas ialah beribadat (menyembah) yakni jangan kamu beribadat selain dari Allah s.w.t yang tidak berkuasa memberi manfaat dan mudarat kepadamu.

:2: Dengan makna "memuji" seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud, " Katakan olehmu wahai Muhammad s.a.w, berdoalah (pujilah) akan Allah s.w.t atau mendoalah (pujilah) akan Ar-Rahman". (Isra', 110)

:3: Dengan makna memohon bantuan atau pertolongan seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud, " Dan berdoalah kamu (minta bantuan) kepada orang-orang yang dapat membantumu".

:4: Dengan makna " permintaan" seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud, "Mintalah kamu kepadaku, Aku perkenankan permintaan kamu itu". ( Al-Mukmin, 60)

Berdasarkan kepada pengertian doa yang tersebut di atas dapat disimpulkan bahawa doa ialah "melahirkan rasa rendah diri dan tunduk kepada Allah s.w.t serta menyatakan hajat atau permohonan yang dikehendaki".

Tujuan Dan Adab Berdoa

Setiap doa yang hendak dibaca hendaklah mempunyai sifat dan tujuan yang baik. Doa yang diucapkan sebaik-baiknya hendaklah dalam keadaan dan cara seperti berikut.

:: Mengetahui tujuan berdoa atau apa yang hendak dipohon dari Allah s.w.t.
:: Doa dibaca dengan betul dan tepat sebutan mahrajnya.
:: Doa dibaca dengan suara yang jelas dan sederhana ( tidak terlalu laju).
:: Doa dibaca dengan suara yang sesuai ( tidak terlalu kuat dan sebaliknya).
:: Doa dibaca dengan penuh rasa khusyuk dan tawaduk kepada Allah s.w.t.

Orang Yang Ditolak Doanya

Orang-orang yang ditolak doanya adalah disebabkan beberapa perkara seperti berikut :

:: Orang yang menggunakan barang-barang haram ::

Orang-barang yang menggunakan keperluan hidupnya dari benda-benda yang haram seperti pakaiannya haram, memakan benda yang haram seperti pakaian dan makanan dengan wang yang haram doanya tidak akan diterima oleh Allah s.w.t.

Saad bin Abi Waqas bertanya kepada Rasulullah s.a.w, " Ya Rasulullah s.a.w saya telah pun berdoa tetapi tidak diterima. Rasulullah s.a.w menjawab, Ya Saad tinggalkanlah makanan yang haram, maka sesungguhnya tiap perut yang telah dimasukkan makanan yang haram maka tidak diterima doanya selama empat puluh hari".

Abu Hurairah menceritakan, " Satu hari Rasulullah s.a.w menceritakan perihal seorang lelaki yang telah jauh perjalanannya, kasut dan berdebu rambutnya, dia menadahkan tangannya ke langit dan berdoa "Ya Tuhan Ya Tuhan". Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan perutnya dipenuhi dengan barang-barang haram, maka bagaimanakah Tuhan akan memperkenankan doanya". (diriwayatkan oleh Muslim)

:: Ingin Disegerakan Doanya ::

Seseorang yang memohon sesuatu hajat kepada Allah s.w.t tidak boleh meminta atau berharap doanya dikabulkan dengan segera, seolah-olah ia memaksa Allah s.w.t mengikut kehendaknya. Cara yang demikian akan menjadikan ia cepat putus asa apabila doanya atau permintaannya tidak dikabulkan oleh Allah s.w.t, sedangkan orang yang putus asa terputus dari rahmat Allah s.w.t dan apabila tiada rahmat Allah s.w.t menyebabkan doanya tiada dimakbulkan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud, " Dan janganlah kau berputus asa daripada mengharap rahmat Allah s.w.t kerana sesungguhnya tiadalah yang putus asa dari rahmat Allah s.w.t kecuali orang-orang kafir". ( Surah Yusuf, 87)

:: Tidak Yakin ::

Seseorang yang berdoa atau memohon sesuatu kepada Allah s.w.t hendaklah mempunyai angapan atau sangkaan yang baik bahawa permintaanya akan diterima dan apabila was-was atau separuh yakin doanya akan dikabulkan oleh Allah s.w.t menyebabkan doanya di tolak.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, " Hendaklah kamu berdoa kepada Allah s.w.t dengan yakin akan perkenan doanya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah s.w.t tidak memperkenankan doa orang-orang yang berhati lalai dan alpa".

Doa Yang Dilarang

Agama Islam melarang kita berdoa untuk kebinasaan diri kita atau berdoa supaya Allah s.w.t membinasakan orang lain atau berdoa untuk memutuskan silaturrahim dan sebagainya untuk kepentingan diri sendiri.

Hal ini kadang-kadang berlaku ketika seseorang dalam keadaan marah, seringkali kita dengar seorang ibu atau bapa menyumpahi anak-anaknya dan berdoa supaya Allah s.w.t menimpakan kecelakaan kepada anaknya.

Perbuatan ini dilarang oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana sabdanya yang bermaksud, " Janganlah kamu meminta keburukan atas diri kamu anak-anak kamu, atau harta benda kamu dan jangan kamu menunggu-nunggu saat yang sesuai untuk berdoa kepada Allah s.w.t supaya diperkenankan".

Berdoa meminta keburukan sebenarnya bukanlah berdoa namanya tetapi lebih merupakan pernyataan rasa marah, geram atau kerana tidak sabar atas perkara yang berlaku, ia juga menunjukkan seseorang itu tidak reda dengan apa yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Sedangkan apa yang telah berlaku adalah sesuatu yang Allah s.w.t telah rencanakan dan sesuatu yang direncanakan oleh Allah s.w.t itu mempunyai muslihat yang Allah s.w.t sendiri mengetahuinya". Sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud, " Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu pada hal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka sesuatu padahal itu buruk bagi kamu dan ingatlah, Allah s.w.t jualah yang mengetahui (semua itu) sedangkan kamu tidak mengetahuinya".

Source :: Portal for Muslim Children

No comments: